Jadi Ejen Hartanah

Ketahui cara untuk jadi agen hartanah, laluan kerjaya dan cabaran jadi agen hartanah

Kalau ditanya anak-anak kecil apa cita-cita mereka bila dah besar, pasti jawapan klise yang diberi mereka antaranya nak jadi doktor, polis, guru dan sebagainya.

Tapi jangan pelik ya, kini sudah  ada yang mengenali kerjaya sebagai perunding hartanah. Mungkin mereka mengetahuinya kerana bapa mereka seorang ejen hartanah atau  melalui kenalan keluarga saudara-mara yang bekerja dalam bidang ini atau mereka mengetahuinya apabila melihat proses jual beli rumah itu di depan mata.

Mungkin terdetik di hati mereka, “Nak kerja jual rumah lah”

“Nampak, masih boleh menghasilkan pendapatan yang lumayan”

Baiklah, berbalik kepada artikel ini, adakah anda sedang mencari maklumat tentang laluan kerjaya menjadi seorang agen hartanah?

Ataupun, anda sendiri yang berminat atau anak anda atau jiran anda atau sesiapapun sahaja, dipersilakan baca artikel ini untuk ketahui lebih lanjut mengenai kerjaya sebagai seorang agen hartanah.

Kerjaya ini tidaklah begitu popular dalam kalangan senarai kerjaya idaman tetapi kalau kena gaya, ia boleh memberi kepuasan karier bagi  yang meminati bidang hartanah ini.

Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri melalui pemerhatian dan pengamatan terhadap perkara-perkara yang berlaku sepanjang saya menjadi agen hartanah ini, Ia ditambah dengan bacaan dan rujukan yang berkaitan bidang ini.

Jom baca!

Pengenalan

Perunding hartanah atau juga yang dikenali oleh masyarakat sebagai agen hartanah merupakan profesion pekerjaan yang melibatkan urus niaga jual dan beli hartanah seperti kawasan kediaman, rumah, aset bangunan dan tanah.

Senang cerita, anda adalah orang tengah  yang menguruskan urusan jual beli antara pengguna yang ingin menjual atau membeli hartanah, dengan pihak pemaju dan bank yang memberikan pinjaman untuk melayakkan anda berjaya dengan urusan jual beli tersebut.

Menurut laporan US News pada tahun 2020, kerjaya sebagai agen hartanah berada di ranking #4 dalam skop kerjaya bidang jualan dan pemasaran. Ranking ini disusun mengikut aspek seperti seperti:

  1. Tahap gaji yang diterima;
  2. Peluang pekerjaan di pasaran;
  3. Perkembangan kerjaya di masa akan dating;
  4. Tekanan tempat kerja;
  5. Faktor keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan seharian.

 

Definisi Agen Hartanah Perunding Hartanah

 

Apa Itu Agen Hartanah?

Seorang agen hartanah ialah individu yang telah mengikuti kursus perundingan hartanah dan/atau mempunyai kelayakan akademik dalam bidang hartanah. Antara jenis kelulusan akademik yang berkaitan dengan bidang ini adalah seperti:

  • Sijil
  • Diploma
  • Ijazah

Antara universiti awam yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Penurusan Hartanah atau Bachelor in Real Estate Management ialah:

  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  • Universiti Teknologi Mara (UiTM – cawangan Seri Iskandar, Perak)

Pelajar perlu menjalani latihan industri atau praktikal selama 2 tahun sebelum bergraduasi. Sekiranya mereka serius dalam bidang ini dan ingin membuka agensi hartanah sendiri, mereka perlu lulus temu duga yang diadakan oleh Lembaga Penilai Pentaksir dan Agen Hartanah selain menghadiri kursus perundingan hartanah.

Sila pastikan dapat kelulusan dulu ya barulah boleh anda gelar diri anda sebagai seorang agen hartanah!

 

Apa Itu Perunding Hartanah?

Sementara itu, perunding hartanah merupakan staf bawahan yang dilantik oleh agen hartanah untuk melakukan transaksi atau membantu urusan jual beli hartanah.

Sekiranya sesebuah urusan jual beli hartanah tersebut berjaya dilakukan, komisyen yang diterima adalah berdasarkan  terma dan persetujuan yang telah ditetapkan lebih awal antara perunding hartanah dengan agen hartanah yang menjadi agensi mereka.

Dari segi teknikal, perunding hartanah ialah subset kepada agen hartanah. Maksudnya, agen hartanah boleh jadi perunding hartanah, tapi, perunding hartanah tidak boleh jadi agen hartanah.

Tetapi lagi sekali, kita di Malaysia ni macam biasalah kan, kalau di kedai  mamak tu semua orang jadi bos, jadi untuk bidang hartanah ni, orang ramai jarang yang tahu perbezaan antara kedua-dua agen hartanah vs perunding hartanah. Pukul rata, semua dipanggil agen hartanah.

Pun boleh lah kan asalkan urusan jual beli anda berjaya disempurnakan dengan baik dan dilakukan mengikut tatacara dan prosedur perundangan yang betul.

 

Syarat dan Kelayakan:

 

Kena masuk kolej ke untuk dapatkan kelayakan?

Tiada syarat pendidikan minimum untuk menjadi seorang perunding hartanah, tapi kenalah pandai mengira, membaca dan menulis; itu sudah tentu jatuh hukum wajib.

Untuk memudahkan urusan, anda perlu mempunyai kenderaan sendiri supaya senang anda bergerak untuk mencari klien dan pemilik hartanah.

Kerjaya ini sebenarnya boleh diceburi oleh sesiapa sahaja asalkan anda mahir berkomunikasi dan gigih berusaha tidak mudah berputus asa.

 

Cara Menjadi Agen Hartanah Perunding Hartanah:

 

Ada kursus atau program latihan ke?

Sesiapa sahaja yang mempunyai minat atau betul-betul serius ingin libatkan diri sebagai agen hartanah, dialu-alukan untuk menceburi kerjaya ini.

Tapi, mestilah ada syaratnya, orang bawa kereta pun kena ada lesen, doktor perubatan pun kena berdaftar, sama juga macam kalau nak jadi agen hartanah atau perunding hartanah ni.

Sebelum anda boleh memulakan hari anda sebagai agen hartanah, anda WAJIB menyertai mana-mana kursus perundingan hartanah selama 2 hari yang dperakui oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Agen Hartanah. Lembaga ini telah menetapkan bahawa semua perunding dan agen hartanah perlu mendaftar di bawahnya. Tak daftar, tak boleh!

Sepanjang kursus 2 hari tersebut, banyak pengisian yang boleh membantu kita untuk menjadi agen hartanah yang lebih power and successfull antaranya:

  • Topik pengenalan hartanah di Malaysia dan pasaran hartanah
  • Industri hartanah
  • Standard atau piawai agensi hartanah di Malaysia
  • Skop kerja agen hartanah
  • Kemahiran komunikasi untuk membantu rundingan yang berjaya
  • Asas perundangan untuk lebih memahami aspek guaman
  • Penggunaan teknologi dalam bidang hartanah

Sijil akan diberikan selepas anda tamat berkursus.

 

Persiapan Menjadi Agen Hartanah:

 

Apa yang perlu dibuat?

Seterusnya, saya akan ceritakan serba ringkas, kronologi atau langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk bergelar seorang agen hartanah di Malaysia.

  1. Hadir ke kursus perundingan hartanah yang diterangkan sebelum ini. Yuran yang dikenakan ialah RM600.
  2. Tamat kursus, bawa salinan sijil anda dan cari agensi hartanah yang sah untuk anda sertai sebagai agen. Kebiasannya, agensi akan mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM100-500 bergantung kepada agensi tersebut.
  3. Kemudian, pastikan anda sudah mempunyai kelengkapan seperti laptop, telefon pintar, kad bisnes, pita ukur, banner dan sebagainya untuk memudahkan kerja-kerja anda sebagai agen hartanah.
  4. Dah bersedia dengan semua kelengkapan dan maklumat berkaitan? Inilah masanya anda meluaskan pemasaran anda untuk orang kenali anda sebagai agen hartanah.

 

Tips Pemasaran Agen Hartanah:

 

Macam mana nak cari klien?
  1. Iklankan diri anda di platform jualan.

Antaranya seperti Shopee, Mudah, Lazada dan sebagainya. Zaman sekarangkan memang ramai yang suka shopping online? Semua benda akan dicari secara online.

  1. Kukuhkan imej di media sosial.

Manfaatkan Twitter, Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya untuk memasarkan diri anda. Mungkin anda tak perlu secara direct bagitahu yang anda ialah agen hartanah; mungkin anda boleh cipta kandungan media sosial yang menarik untuk dikenali dan mengumpul bilangan pengikut yang ramai.

Dari situ, orang ramai akan mula ingin tahu atau menyelidiki latar belakang anda sebagai agen hartanah.

  1. Pengiklanan digital.

Zaman sekarang memang zaman media sosial. Iklan di surat khabar, radio dan majalah rasanya macam dah kurang relevan. Anda boleh gunakan khidmat social media influencer yang kita panggil tweetfamous, instafamous, youtuber, tiktokfamous dan sebagainya ini untuk review servis anda.

Caj pengiklanan mereka ini jauh lebih murah kalau nak dibandingkan dengan pengiklanan di TV atau radio.

 

Pendapatan Agen Hartanah:

 

Boleh kaya ke kerja agen hartanah ni?

Siapa yang nak kerja dengan gaji rendah? Semua orang  mahukan pekerjaan yang stabil, gaji yang lumayan dan beban kerja yang tidak begitu menyusahkan. Tak hairanlah ramai yang nak sangat masuk kerja kerajaan, bukan ke? Senang nak buat loan bank katanya…

Jangan risau, bak kata pepatah moden, rezeki tak pernah salah alamat, ulat dalam batu pun boleh hidup, saya senaraikan di sini bagaimana anda boleh buat duit dengan kerjaya sebagai agen hartanah ini,

  1. Dapat komisyen melalui hasil jualan atau sewaan hartanah

Bak kata orang putih, we cut to the chase je lah, kerjaya agen hartanah ini bukanlah macam kerani atau pekerja kerajaan yang cukup jam, hujung bulan gaji masuk.

Agen hartanah makan gaji dengan komisyen jualan yang berjaya dikendalikan. Komisyennya ialah lebih kurang dalam 3% daripada harga unit rumah.

Komisyen ini merupakan standard bagi harga dan kadar pasaran di negara kita. Contoh pengiraan mudah, kalau anda berjaya menjual rumah yang berharga RM1 juta, anda akan mendapat komisyen sebanyak RM30k.

Daripada nilai komisyen sebanyak RM30k ini, anda akan berkongsi dengan agensi yang anda naungi. Perkongsian ini pula bergantung kepada perjanjian anda dengan agensi anda. Contohnya anda bersetuju 50:50 dengan hasil komisyen, anda akan mendapat RM15k sebagai komisyen bersih.

Tapi, ikut pengalaman saya, kebanyakan agensi membahagikan 80% untuk agen dan baki 20% untuk agensi.

Itulah ‘gaji’ anda. Bayangkan jika dalam sebulan, anda berjaya menjual 3 unit buah dengan harga serupa, anda boleh meraih pendapatan RM45k untuk bulan itu.

Masyuk sungguh tu! Nilai komisyen ini akan makin bertambah jika anda rajin mencari pembeli dan bersungguh-sungguh menyiapkan urusan jual beli tersebut dengan sempurna.

Lebih-lebih lagi bagi jualan rumah di kawasan bandar seperti di Lembah Klang yang mempunyai banyak lot jualan dan harganya pula ratusan ribu hingga jutaan ringgit bagi setiap unit.

  1. Bayaran daripada yuran guaman

Selain komisyen jualan rumah yang berjaya, anda turut memperolehi wang poket tambahan melalui bayaran daripada yuran guaman melalui peguam yang anda rekemenkan.

Secara asasnya, urusan jual beli rumah memerlukan campur tangan peguam supaya urusan tersebut melalui sistem perundangan yang telus dan melindungi hak kedua-dua pembeli dan penjual.

Sebagai agen hartanah, anda boleh rekemenkan seorang peguam untuk memastikan kelancaran urusan. Daripada kos guaman yang dikenakan, peguam tersebut akan memperuntukkan sejumlah wang sebagai saguhati kepada anda yang telah rekemenkan khidmat mereka sebagai peguam dalam urusan jual beli tersebut.

Nilainya tidaklah sekencang jumlah komisyen 3% jualan rumah tadi, tetapi rezeki jangan ditolak. Ada yang boleh mencecah ratusan ringgit untuk satu urus niaga yang berjaya.

Dalam keadaan ekonomi sekarang, RM100 pun sangat bernilai lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkeluarga.

Ingin bercakap dengan perunding Hartanah?

Hubungi Kami Terus Melalui Whatsapp

Ingin bercakap dengan perunding Hartanah?

Hubungi Kami Terus Melalui Whatsapp

Nak Jadi Ejen Hartanah? Hubungi Kami